Tuesday, July 22, 2008

JANGAN CAMPURI URUSAN MALAYSIA- Mukhriz

Pemuda UMNO membidas AS yang berterusan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia, khususnya berhubung penahanan DS Anwar Ibrahim berhubung dakwaan meliwat pembantu penasihat PKR itu.

EXCO merangkap Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Sean McCormack, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyatakan penahanan Anwar menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang kita, perlu diingatkan bahawa negaranya tidak langsung menghormati doktrin apabila menceroboh Iraq, sebuah Negara yang mempunyai 28 juta penduduk.

Kerana pencerobohan dan serangan ketenteraan Amerika dan sekutunyalah…. Iraq kini adalah negara yang kucar kacir, di mana kedaulatan undang-undang sudah tidak wujud lagi, dengan anggaran konservatif seramai lebih daripada sejuta nyawa yang tidak berdosa kerana pencerobohan haram, itu dilakukan dengan muslihat dan tipu helah.

Bagi Mukhriz, adalah lebih baik bagi mereka seperti McCormack dan Senator Joseph Biden, yang mendakwa bahawa penahanan Anwar adalah bermotifkan politik, berusaha mengatasi kelemahan dalam sistem kehakiman Amerika sebelum ajar Malaysia tentang kedaulatan undang-undang.

Anwar ditahan mengikut peruntukan undang-undang Malaysia, disoal-siasat mengikut peraturan dan undang-undang serta dibebaskan sebaik sahaja pihak polis selesai lakukan siasatan. Beliau telah dilayan sebagai tahanan jenayah yang lain dan tidak ada satu pun haknya sebagai tahanan dilanggar.

Sehubungan dengan itu, Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda UMNO menganggap kenyataan Jabatan Negara atau kenyataan seumpama yang dilakukan mana-mana pihak luar, sebagai memandang rendah kedaulatan Malaysia dan integriti Polis DiRaja Malaysia.

Monday, July 14, 2008

PERALIHAN PUCUK PIMPINAN UMNO- Wajarkah jawatan no 1 dan 2 dipertandingan?

Jawatan Presiden, Timbalan perlu dipertandingkan- Muhyiddin

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO masih perlu dibuka untuk dipertandingkan pada Disember ini walaupun sudah ada pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Ia demi menyuburkan demokrasi dalam UMNO, kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu bersifat lebih terbuka untuk dipertandingkan namun kini pun sudah wujud satu halangan iaitu sistem kouta bagi merebut jawatan-jawatan berkenaan oleh itu tidak perlu lagi ada halangan lain untuk mereka yang mahu bertanding jawatan terbabit.

Pesaing jawatan Presiden, Timbalan sukar- Rais Yatim

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sesiapa yang berhasrat mencabar jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada pemilihan parti Disember ini akan menemui jalan sukar untuk menang.

Ini kerana mengikut tradisi UMNO, ahli-ahlinya sentiasa berpegang pada status quo terutama setelah Abdullah mengumumkan akan melakukan peralihan kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

''Saya kira kesukaran itu ada sebab tradisi UMNO ini walaupun perlembagaan parti tidak menghalang namun ahli-ahlinya menghormati status quo dan tahap (penghormatan) itu begitu tebal. Ia suatu halangan kepada mereka yang hendak mencabar (jawatan Presiden atau Timbalan Presiden),".

Beliau ditanya peluang untuk menang oleh mana-mana individu yang berhasrat bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Disember ini setelah Abdullah pada Khamis lalu mengumumkan akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada Jun 2010.

Setakat ini, hanya bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhasrat mencabar Abdullah pada pemilihan tersebut. Menurut Rais, apatah lagi sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding memerlukan pencalonan tertentu daripada bahagian sekali gus menyukarkan seseorang itu untuk melepasi tahap persaingan tersebut.

Perang psikologi makan diri - Mukhriz

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memberi pelbagai alasan dan mengadakan perhimpunan politik sebaliknya bersedia berhadapan dengan dakwaan terbaru kes liwat membabitkan beliau serta membuktikan sama ada ia betul atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau hairan bagaimana Anwar hanya mengulangi alasan lama seperti yang pernah dinyatakannya satu masa dahulu iaitu konspirasi untuk menjatuhkan beliau.

Mukhriz berkata, tiada individu yang sanggup mendedahkan keaiban seperti dilakukan Saiful jika ia tidak benar.

Pada 28 Jun lalu, pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

''Saya ingat tidak ada orang yang mahu mendedahkan aib begini. Jika ia bohong, rasa malu tidak dapat disembunyikan sehingga tujuh keturunan,'' jelasnya.

Katanya, perang psikologi yang sedang digunakan Anwar bakal mendedahkan kepada umum situasi sebenar yang akan berlaku.
''Mudahkan sahaja cerita, mengaku sahaja anda liwat Saiful atau tidak," ujarnya.

Tegasnya, tindakan pertama Anwar yang 'melarikan diri' ke kedutaan Turki sudah menunjukkan perasaan takut dan tanda beliau tidak boleh berdepan dengan realiti.

''Kenapa masa mula-mula dituduh anda lari, itu menunjukkan anda takut dan ada sesuatu yang sudah terjadi," katanya.

Gunakan mesyuarat UMNO cawangan mantapkan parti

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan ahli-ahli UMNO supaya menggunakan peluang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung mulai Khamis ini bagi memantapkan parti untuk berhadapan pilihan raya umum akan datang. Beliau berkata, oleh itu kesempatan yang ada itu perlu dimanfaatkan untuk membahaskan masa depan dan perjuangan parti selain memikirkan tentang mesej daripada keputusan pilihan raya umum lalu. Katanya, mesyuarat itu juga kelak patut memikirkan apa bentuk perubahan dan transformasi kepada bukan sahaja UMNO tetapi Barisan Nasional (BN).

‘‘Kita perlu sedar bahawa ujian kita selepas ini bukannya soal pemilihan, tetapi adalah selepasnya iaitu bagi memantapkan parti bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.”

Hishammuddin ditanya mengenai nasihat beliau kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara menjelang mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang akan berlangsung 17 Julai ini. Berhubung pemilihan parti, beliau menasihatkan Pemuda UMNO khususnya supaya menggunakan kesempatan itu untuk membentuk satu barisan yang lebih mantap. Katanya, ini supaya perjuangan UMNO akan dapat memenuhi cita rasa orang ramai khususnya generasi muda.

‘‘Sesiapa yang hendak menawarkan diri sebagai pemimpin di dalam UMNO perlu juga mengambil kira hubungan dan perjuangan mereka dengan rakan-rakan dalam BN,” katanya.

Sunday, July 6, 2008

Kembali ke landasan perjuangan Melayu

Veteran Umno menggesa semua pemimpin Melayu supaya kembali ke landasan perjuangan sebenar dan tidak meletakkan kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat bagi memastikan keadaan politik negara kembali bersih.

Kebanyakan mereka melahirkan rasa bimbang dengan keadaan politik sekarang yang semakin meruncing dengan pelbagai taktik dan permainan kotor serta tidak lagi bertunjangkan kepada standard moral yang tinggi meskipun kononnya bertindak berdasarkan kebenaran.

Mereka juga berpendapat kemelut berpanjangan ini perlu dihentikan segera sebelum rakyat menjadi mangsa kerana terkeliru akibat kekalutan politik pemimpin Melayu yang tampak seolah-olah tiada penghujungnya buat masa ini.

Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani, berkata keadaan yang timbul sekarang ini terlalu jauh berbeza daripada senario politik yang dilalui ketika beliau aktif berpolitik sejak zaman awal kemerdekaan dulu.

“Pada masa itu juga berlaku krisis dan kita turut menerima tentangan daripada pembangkang yang tidak kurang juga hebatnya. Tetapi kami masing-masing tahu had dan sempadan sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

“Kemelut perbezaan pandangan daripada parti bahkan dari dalam Umno sendiri berjalan dengan batas cara kita dan jangan sampai tahap begini. Ini adalah krisis terburuk yang pernah saya lihat setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata semua ahli parti daripada peringkat akar umbi perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapatkan kepercayaan rakyat dan tidak terlalu berkeras mahu mempertahankan pendirian masing-masing.

“Rakyat sudah bagi isyarat yang jelas dan dalam masa yang sama masih mengekalkan kita selepas pilihan raya dulu yang memberi maksud pemimpin perlu melakukan sesuatu. Ia sangat jelas.

“Harapan saya kepada ahli Umno supaya memilih pemimpin yang dikehendaki rakyat dan mampu memimpin dalam keadaan goyah ini. Kita perlu jujur bertanya diri sendiri apakah keputusan kita dikehendaki rakyat atau kita nafikan kehendak mereka,” katanya.

Seorang lagi Veteran Umno, Tun Dr Fatimah Hashim pula menggesa ahli parti dan pemimpin supaya bekerja keras untuk memulihkan imej jika sayangkan parti.

Katanya, pertelagahan sesama sendiri perlu dihentikan dan menyusun kembali parti supaya lebih berdaya juang dan mampu kembali meraih kepercayaan orang rakyat.

HUBUNGAN ANWAR-AS: Satu pengkhianatan terhadap kedaulatan Malaysia

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mengulangi bantahan ke atas kenyataan Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey yang menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pemuda membantah sekeras-kerasnya tindakan Washington ini dan melihat campurtangan pihak lain seperti Turki yang pernah melindungi Anwar serta akhbar tabloid Singapura yang sengaja mahu mengaibkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai satu perkembangan yang tidak sihat di mana kuasa-kuasa asing cuba mencampuri hal ehwal negara kita.

Pemuda melihat perkembangan ini mempunyai kaitan dengan Anwar dan membuat pendirian bahawa satu tindakan tegas perlu diambil untuk menyatakan amaran serta bantahan kita terhadap pihak ketiga agar jangan sekali-kali cuba mencampuri urusan Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan Amerika serta kuasa asing lain yang mencampuri urusan perundangan negara selain membantah usaha Anwar yang cuba meraih simpati negara-negara asing untuk mengalih perhatian ramai ke atas siasatan dirinya sendiri.Kecenderungan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk mencampuri urusan dalam negara ini, khususnya berkenaan kes liwat Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menimbulkan banyak persoalan mengenai hubungan pentadbiran AS dan Anwar.


AS Jangan campuri urusan Malaysia

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Nor berkata, amaran pentadbiran AS untuk campur tangan dan membantah siasatan terhadap kes itu adalah ulangan kepada episod 1998 apabila pentadbiran AS, menerusi Madeline Albright dan Al-Gore juga cuba menyokong dan campur tangan di dalam menjayakan gerakan reformasi jalanan oleh Anwar dan PKR bagi menekan Kerajaan Malaysia.

Semua pihak, baik kerajaan mahu pun seluruh warga negara berdaulat ini tidak boleh memandang ringan terhadap hubungan erat AS dan Anwar sehingga memberi amaran dan mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Hubungan Anwar dan pentadbiran AS jelas bagaikan satu pengkhianatan kepada kedaulatan Malaysia. Apakah hubungan mereka? Apakah agenda AS dan peranan Anwar di dalam menjayakan rancangan mereka?

Oleh itu, Pemuda UMNO Melaka mendesak satu siasatan terperinci dilakukan oleh Polis dan pasukan keselamatan tentangan hubungan Anwar & pentadbiran AS. Malah siasatan itu juga boleh menjelaskan segala persoalan rakyat terhadap Anwar, mahu pun menjelaskan kedudukan sebenar Anwar dengan pentadbiran AS.

Jika tidak masyarakat akan terus menerus menyaksikan sifat dan sandiwara Anwar yang setiap kali menerima tuduhan sibuk menggunakan media dan ceramah umum, bukan platform mahkamah. Siasatan Polis diperkecilkan.

Sebaliknya Anwar sentiasa meraih simpati orang ramai, tanpa menjawab soalan, dia akan mengalih tumpuan ramai, memutarbelitkan kenyataannya sambil memprovokasi, menuduh dan mendakwa kebenaran pihak lain.