Sunday, July 6, 2008

HUBUNGAN ANWAR-AS: Satu pengkhianatan terhadap kedaulatan Malaysia

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi mengulangi bantahan ke atas kenyataan Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey yang menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pemuda membantah sekeras-kerasnya tindakan Washington ini dan melihat campurtangan pihak lain seperti Turki yang pernah melindungi Anwar serta akhbar tabloid Singapura yang sengaja mahu mengaibkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, sebagai satu perkembangan yang tidak sihat di mana kuasa-kuasa asing cuba mencampuri hal ehwal negara kita.

Pemuda melihat perkembangan ini mempunyai kaitan dengan Anwar dan membuat pendirian bahawa satu tindakan tegas perlu diambil untuk menyatakan amaran serta bantahan kita terhadap pihak ketiga agar jangan sekali-kali cuba mencampuri urusan Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan Amerika serta kuasa asing lain yang mencampuri urusan perundangan negara selain membantah usaha Anwar yang cuba meraih simpati negara-negara asing untuk mengalih perhatian ramai ke atas siasatan dirinya sendiri.Kecenderungan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk mencampuri urusan dalam negara ini, khususnya berkenaan kes liwat Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menimbulkan banyak persoalan mengenai hubungan pentadbiran AS dan Anwar.


AS Jangan campuri urusan Malaysia

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Nor berkata, amaran pentadbiran AS untuk campur tangan dan membantah siasatan terhadap kes itu adalah ulangan kepada episod 1998 apabila pentadbiran AS, menerusi Madeline Albright dan Al-Gore juga cuba menyokong dan campur tangan di dalam menjayakan gerakan reformasi jalanan oleh Anwar dan PKR bagi menekan Kerajaan Malaysia.

Semua pihak, baik kerajaan mahu pun seluruh warga negara berdaulat ini tidak boleh memandang ringan terhadap hubungan erat AS dan Anwar sehingga memberi amaran dan mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Hubungan Anwar dan pentadbiran AS jelas bagaikan satu pengkhianatan kepada kedaulatan Malaysia. Apakah hubungan mereka? Apakah agenda AS dan peranan Anwar di dalam menjayakan rancangan mereka?

Oleh itu, Pemuda UMNO Melaka mendesak satu siasatan terperinci dilakukan oleh Polis dan pasukan keselamatan tentangan hubungan Anwar & pentadbiran AS. Malah siasatan itu juga boleh menjelaskan segala persoalan rakyat terhadap Anwar, mahu pun menjelaskan kedudukan sebenar Anwar dengan pentadbiran AS.

Jika tidak masyarakat akan terus menerus menyaksikan sifat dan sandiwara Anwar yang setiap kali menerima tuduhan sibuk menggunakan media dan ceramah umum, bukan platform mahkamah. Siasatan Polis diperkecilkan.

Sebaliknya Anwar sentiasa meraih simpati orang ramai, tanpa menjawab soalan, dia akan mengalih tumpuan ramai, memutarbelitkan kenyataannya sambil memprovokasi, menuduh dan mendakwa kebenaran pihak lain.

No comments: