Wednesday, April 30, 2008

Isu Keris : Antara Kepentingan Parti Dengan Maruah Diri

Adam Jalil

Sebagai salah seorang ahli UMNO dan orang Melayu, penulis antara yang pada awalnya tidak dapat menerima tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memohon maaf kepada kaum bukan Melayu jika peristiwa tradisi menjulang keris di dalam Perhimpunan Agung Pemuda menimbulkan masalah.

Julang Keris Hanyalah Istiadat Acara

Apa salah menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO? Ia hanyalah satu istiadat perhimpunan yang cuba diwujudkan dalam Pemuda kerana keris melambangkan susur galur perjuangan Melayu.

Bukankah sudah sekian lama istiadat mencium keris dilakukan dalam pelbagai acara orang Melayu? Tidak pula ia menjadi satu isu besar kenapa sekarang?

Lebih mengecilkan hati ahli UMNO ialah apakah kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu menjadikan kita makin hilang kuasa?

Apakah terhinanya orang Melayu sehingga mencium dan menjulang keris dalam perhimpunan sendiri sudah tidak boleh lagi?

Rasional Di Sebalik Permohonan Maaf

Namun apabila kita memikirkan secara rasional tentulah lama-kelamaan kita menerima rasional keputusan Hishammuddin.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Hishammuddin sudah dapat melihat bahawa tiada guna berkeras atas isu yang remeh temeh ini sehingga boleh menjejaskan kepentingan parti sama ada BN mahu pun UMNO.

Memang benar ia bukan isu perkauman pun. Namun ia menjadi isu besar kerana terdapat perwakilan pemuda UMNO kemudiannya mempersoalkan Hishammuddin bilakah lagi mahu digunakan keris tersebut.

Di tambah dengan propaganda besar-besaran akhbar berbahasa Mandarin dan blog-blog bukan Melayu milik penyokong DAP, ia telah menjadi satu isu di luar kawalan.

Dari upacara adat istiadat ia telah menjadi satu lambang perkauman.

Menurut pandangan golongan tertentu, isu keris ini memang memainkan peranan dalam menimbulkan kemarahan orang bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Membakar "Diri" Demi UMNO dan BN?

Justeru dari melihat isu ini meleret-leret sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif pada masa akan datang, Hishammuddin memilih untuk menutup terus isu ini dengan memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung kerana istiadat tersebut.

Hishammuddin sedar ia mungkin menjadi lilin yang membakar diri dalam UMNO.

Permohonan maaf beliau yang tidak bertempat ini pasti menimbulkan masalah kepada kerjaya politik beliau pada masa akan datang.

Orang Melayu akan melihat tindakan ini merupakan satu kekalahan moral yang besar kepadanya.

Namun antara kepentingan parti dengan maruah diri, beliau memilih parti. Kerana kekuatan partilah yang meletakkan beliau berada dalam kedudukan sekarang.

Seperti kata pepatah, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga UMNO yang merendah diri sedikit tidak akan hilang kekuatannya jika kita semua memahami hikmah di sebalik peristiwa ini.


(Sumber: Artikel ini saya ambil dari laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia – www.pemuda.com.my)

Tuesday, April 29, 2008

KETUA PEMUDA UMNO: Siapa yang kita nak pilih?

Ketua Pemuda kita, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan meninggalkan kita, meninggalkan `zaman Pemudanya’ Disember ini. Sungguh berat untuk membiarkannya pergi, namun setelah hampir 10 tahun bersama Pemuda, banyak ilmu dan barisan pelapis yang telah ditinggalkannya.

Persoalannya kini, setelah Dato’ Hisham pergi, siapa yang akan ganti? Mungkinkah naibnya kini, YB KJ atau EXCOnya, YB Dato’ Mukhriz, atau nama-nama lain yang juga dikatakan berhasrat untuk mengantikan Hisham sebagai Ketua Pemuda.

Khir Toyo, Azimi Daim, Shaziman Mansor malah Zahidi Zainul Abidin turut pernah nyatakan hasrat untuk bertanding. Persoalannya, siapa yang layak, siapa pula yang benar-benar diterima oleh Pemuda di peringkat akar umbi?

Dalam memilih bakal penganti Ketua Pemuda, kita juga harus merenung sedikit pandangan dan nasihat dari bakal bekas Ketua Pemuda kita. Beliau berkata, hanya perwakilan berhak menentukan sama ada barisan pucuk kepimpinan pergerakan itu perlu dikekalkan atau diubah. Tegas beliau, ia merupakan amalan yang sihat dan perlu diteruskan supaya hala tuju pergerakan itu dapat diterima oleh ahli serta orang ramai. Bagaimanapun, katanya, mereka yang menawarkan diri untuk bertanding itu perlu memahami dengan jelas matlamat dan hala tuju yang ingin diterapkan dalam perjuangan pergerakan itu pada masa depan.

''Kalau mereka sendiri tidak faham apa yang ingin dibawa ke depan, bagaimana hendak memimpin pergerakan itu. Perwakilan tidak boleh menyalahkan sesiapa jika mereka tersalah buat keputusan," – Datuk Hisham

Dalam perkembangan lain, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron mencadangkan agar Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang akan datang diisi oleh mereka yang telah dibentuk dan dibimbing bukannya melalui pertandingan kerana ia dipengaruhi emosi atau desakan. Hishammuddin yang telah mengetuai sayap kanan parti itu sejak sekian lama telah melatih dan membimbing orang tertentu untuk menggantikannya. Setiap Exco Pergerakan Pemuda UMNO masa kini telah dibentuk dan dibimbing untuk menyatakan pendirian masing- masing berhubung hala tuju pergerakan itu pada masa depan.

Thursday, April 17, 2008

Pilih Pemimpin berwibawa- wang ringgit bukan pertimbangan pilih pemimpin

Ahli Pemuda UMNO diingatkan supaya menggunakan sebaik-baiknya peluang pada pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan pusat pada tahun ini untuk mengetengahkan pemimpin yang berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab besar pergerakan itu selaras dengan kedudukannya sebagai sayap kanan parti.

Ketua kita yang bakal meninggalkan kita Disember ini telah meminta kita semua, ahli-ahli Pemuda agar bijak menilai keperibadian pemimpin yang mahu kita tonjolkan supaya sesiapa saja yang diangkat bukan hanya mengejar jawatan, sebaliknya dapat menyumbang untuk membantu memperkukuhkan parti yang tercalar berikutan keputusan mengecewakan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Inilah peluang untuk ahli menilai calon yang mahu mereka ketengahkan untuk memimpin Pergerakan Pemuda UMNO. Biar Pemuda sendiri yang menentukan pemimpin yang mereka mahu baik pada peringkat cawangan, bahagian atau pusat.

Benarkah, selama ini kita akan memandang pada wang ringgit atau habuan yang bakal diperolehi dalam menentukan pemimpin yang ada pada hari ini?

Malah rakyat sendiri sudah bosan dengan tuduhan sama ada dari segi persepsi atau realiti bahawa wang ringgit menjadi pertimbangan pemimpin kita dan kedudukan menjadi perkara yang membelenggu terhadap persepsi orang ramai terhadap kita.

Kalaulah benar ia memang terjadi dalam masyarakat politik kita pada hari ini, Dato’ Hisham memberi ingatan agar jangan lagi kita memberi peluang atau ruang untuk calon ‘wang ringgit’ ini kerana yang akan menentukan pemimpin ialah kita sendiri di peringkat akar umbi.

Pemuda UMNO akan berdepan kesukaran untuk menarik penyertaan generasi muda jika anggota pergerakan itu sentiasa bercakaran dan berebut jawatan selain hanya mengejar wang ringgit, sekali gus menyebabkan parti untuk orang Melayu itu tidak lagi relevan pada masa depan.

Sehubungan itu, katanya, setiap ahli pergerakan itu perlu bertanggungjawab terhadap calon pemimpin yang mereka pilih nanti. Beliau juga mengingatkan ahli bahawa dalam keghairahan mereka memilih pemimpin, pertandingan yang diadakan hendaklah dalam suasana dan semangat kekeluargaan, tertib dan berdisiplin supaya dapat mengelak perpecahan yang berlarutan.

Monday, April 14, 2008

Kembara Seorang Pejuang

Assalammualaikum

Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, Namun hati rela berjuang, dengan cara sendiri, demi cinta ini…. Ku ingin, kotakan seribu janji, sepanjang perjalanan ini, ku ingin, sampaikan pesanan….. akulah Penyambung Warisan….

Selamat melayari blog aku yang tidak seberapa ini. Aku ingin menyahut saranan Pergerakan Pemuda UMNO yang mahukan setiap ahli Pemuda yang mahu tawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti, untuk membina laman blog masing-masing untuk agar calon tersebut memperkenalkan diri serta menerangkan visi, misi dan aspirasi sekiranya terpilih untuk memimpin pergerakan itu sekali gus membanteras politik wang sewaktu berkempen.

Tapi tujuan aku bukanlah nak bertanding. Tapi aku nak gunakan blog ini sebagai medium untuk aku menyuarakan isi hatiku, dalam pengembaraan perjuangan yang tidak bertepian ini.

Bersama aku, mari kita bersama-sama micarakan apa sahaja topik perjuangan bangsa, merangkumi aspek politik, sosial, ekonomi, bisnes, pendidikan dan apa sahaja isu semasa yang mendasari kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya mengenai agenda Melayu….

Emailkan pendapat dan pandangan saudara, tuan-tuan dan puan-puan kepada saya :
azaini.ismail@gmail.com . semoga persahabatan di alam maya ini akan membentuk sebuah ikatakan persabahatan generasi cemerlang, demi pembangunan sebuah masyarakat yang gemilang dan pembinaan Negara yang terbilang. Insya-Allah.