Wednesday, April 30, 2008

Isu Keris : Antara Kepentingan Parti Dengan Maruah Diri

Adam Jalil

Sebagai salah seorang ahli UMNO dan orang Melayu, penulis antara yang pada awalnya tidak dapat menerima tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien memohon maaf kepada kaum bukan Melayu jika peristiwa tradisi menjulang keris di dalam Perhimpunan Agung Pemuda menimbulkan masalah.

Julang Keris Hanyalah Istiadat Acara

Apa salah menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO? Ia hanyalah satu istiadat perhimpunan yang cuba diwujudkan dalam Pemuda kerana keris melambangkan susur galur perjuangan Melayu.

Bukankah sudah sekian lama istiadat mencium keris dilakukan dalam pelbagai acara orang Melayu? Tidak pula ia menjadi satu isu besar kenapa sekarang?

Lebih mengecilkan hati ahli UMNO ialah apakah kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya lalu menjadikan kita makin hilang kuasa?

Apakah terhinanya orang Melayu sehingga mencium dan menjulang keris dalam perhimpunan sendiri sudah tidak boleh lagi?

Rasional Di Sebalik Permohonan Maaf

Namun apabila kita memikirkan secara rasional tentulah lama-kelamaan kita menerima rasional keputusan Hishammuddin.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Hishammuddin sudah dapat melihat bahawa tiada guna berkeras atas isu yang remeh temeh ini sehingga boleh menjejaskan kepentingan parti sama ada BN mahu pun UMNO.

Memang benar ia bukan isu perkauman pun. Namun ia menjadi isu besar kerana terdapat perwakilan pemuda UMNO kemudiannya mempersoalkan Hishammuddin bilakah lagi mahu digunakan keris tersebut.

Di tambah dengan propaganda besar-besaran akhbar berbahasa Mandarin dan blog-blog bukan Melayu milik penyokong DAP, ia telah menjadi satu isu di luar kawalan.

Dari upacara adat istiadat ia telah menjadi satu lambang perkauman.

Menurut pandangan golongan tertentu, isu keris ini memang memainkan peranan dalam menimbulkan kemarahan orang bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Membakar "Diri" Demi UMNO dan BN?

Justeru dari melihat isu ini meleret-leret sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif pada masa akan datang, Hishammuddin memilih untuk menutup terus isu ini dengan memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tersinggung kerana istiadat tersebut.

Hishammuddin sedar ia mungkin menjadi lilin yang membakar diri dalam UMNO.

Permohonan maaf beliau yang tidak bertempat ini pasti menimbulkan masalah kepada kerjaya politik beliau pada masa akan datang.

Orang Melayu akan melihat tindakan ini merupakan satu kekalahan moral yang besar kepadanya.

Namun antara kepentingan parti dengan maruah diri, beliau memilih parti. Kerana kekuatan partilah yang meletakkan beliau berada dalam kedudukan sekarang.

Seperti kata pepatah, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga UMNO yang merendah diri sedikit tidak akan hilang kekuatannya jika kita semua memahami hikmah di sebalik peristiwa ini.


(Sumber: Artikel ini saya ambil dari laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia – www.pemuda.com.my)

No comments: